Sejarah berkaitan Kampung Baru Nami cuba ditulis setepat mungkin. Menurut
ceritanya kewujudan kampung ini telah lama sebelum merdeka. Asalnya kampung ini
dihuni oleh penduduk berketurunan Siam, sebab itulah kebanyakkan penduduk asal
(orang tua-tua) kampung Baru Nami ada yang pelat loghatnya lebih kepada loghat
siam dan mahir berbahasa siam.
Kampung Baru Nami terletak disempadan antara Daerah Sik dan Daerah Padang
Terap. Sebatang sungai iaitu sungai Muda menjadi pemisah kepada persempadanan
ini dan dihubungkan antara dua daerah ini dengan sebuah jambatan.
Nami diceritakan mendapat nama daripada dua perkataan siam iaitu
"NAM" dan "MI". NAM bermaksud muka dan MI bermaksud
Beruang. Individu yang memberikan nama ini sukar dikenalpasti siapa tetapi ada
yang berkata ianya diberikan oleh Raja Bersiong yang menghilir sungai Muda dari
Kota Aur dan sampai disebuah lubuk yang dalam dan bentuk lubuk itu seperti muka
beruang, maka dikatakan lubuk itu sebagai lubuk NAMMI (Nami). Lubuk Nami kekal
hingga hari ini.
Ketika zaman darurat, Orang-orang Melayu daripada Danglau dan Lubuk
Kemahang dipindahkan ke Kampung Nami dan diberi nama Kampung Baru Nami.
Penduduk siam masih wujud tetapi kebanyakkan mereka menetap di Kampung Nami
Lama (kawasan Sungai Kap) dalam Daerah Padang Terap. Walaupun penduduk yang
berpindah ke Kampung Baru Nami berasal dari dua kampung yang berbeza tetapi
kebanyakkan mempunyai talian persaudaraan.